BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
selamat datang ke creative diamond ::selamat tahun baru 2011 dr admin blog::

Marquee

November 15, 2008

Siapa Yang Paling Pintar???

DIRIWAYATKAN bahawa Ibnu Umar berkata, pada suatu hari, beliau datang berjumpa Rasulullah saw dan ketika itu Baginda sedang berada di tengah-tengah sahabatnya yang terkemuka.Tiba-tiba salah seorang sahabat dari golongan Ansar berdiri dan bertanya kepada Baginda: “Ya Nabi Allah, siapakah manusia yang paling pintar dan siapa pula yang paling cerdas otaknya?”

Lalu Rasulullah menjawab: “Yang paling cerdas dan paling pintar ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan yang banyak bekal untuk menghadapi mati.

“Orang seperti itu biasanya melengkapkan diri sebagai persediaan untuk mati.”

Sabda Baginda lagi: “Apabila hati seorang sudah dimasuki Nur (cahaya iman), maka hati itu akan menjadi lapang dan terbuka.”

Selepas mendengar ucapan Rasulullah itu, orang ramai lalu bertanya: “Apakah tandanya hati yang lapang dan terbuka itu ya Rasulullah?”

Jawab Rasulullah: “Adanya perhatian terhadap kehidupan yang kekal di akhirat nanti serta timbul kesedaran dan pengertiannya terhadap tipu daya kehidupan dunia sekarang ini; maka bersiap-siaplah menghadapinya sebelum datangnya mati itu.”

Akhirnya Rasulullah bersabda: “Cukuplah mati itu sebagai guru atau pelajaran.”

Umat Islam digalakkan supaya sentiasa mengingati mati. Ini kerana dengan mengingati mati, kita sentiasa akan menyedari dan menilai diri apakah amalan yang sudah dilakukan selama ini cukup untuk dibawa ke akhirat nanti.

Firman Allah bermaksud: “Di mana saja kamu berada, mati pasti akan menjumpaimu, walau sekali pun berada dalam mahligai yang kukuh dan kuat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 78)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Katakanlah, bahawa mati yang kamu lari daripadanya, pasti akan menemui kamu juga; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang mengetahui perkara-perkara ghaib dan nyata, lalu Dia akan khabarkan kepadamu segala apa yang telah kamu lakukan.” (Surah al-Jumaah, ayat 8)

Dalam menggalakkan umatnya mengingati mati, Islam tidak memaksudkan agama menyuruh kita bercita-cita supaya lekas mati. Sebaliknya dalam Islam kita dilarang bercita-cita demikian.

Diriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah bersabda: “Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita supaya lekas mati, kerana satu malapetaka mungkin menimpa dirimu.

“Daripada bersikap demikian, lebih baik kita berkata: “Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan matikanlah aku sekiranya mati itu yang lebih baik bagiku.”

Sebaik-baik manusia menurut pandangan Islam adalah orang yang panjang umurnya dan baik perbuatannya, sedangkan sejahat-jahat manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi jahat kelakuannya.

Begitulah besarnya faedah mengingati mati bagi membentuk budi pekerti dan peribadi setiap insan dalam menempuh hidup ini.

Cara yang sangat baik untuk mengingati mati menurut ajaran Allah dan rasul-Nya ialah sentiasa menziarahi sanak saudara atau sahabat dan kenalan yang sedang menderita sakit.

Juga, biasakanlah menziarahi ke rumah keluarga yang ditinggalkan ahli keluarga yang mati.

Selain itu, biasakan juga mengurus jenazah, memandikannya, menyembahyangkannya, menghantar jenazah itu ke kubur, menyaksikan jenazah itu dimasukkan ke liang lahad dan mendoakan orang yang sudah mati, terutama terhadap ibu bapa sendiri.

Mati adalah satu kejadian yang paling hebat, paling menakutkan dan paling mengerikan, yang pasti dihadapi oleh setiap manusia.

No comments: